Fakta 1: Coklat tidak menyebabkan jerawat.
Antara kepercayaan karut paling umum ialah coklat menyebabkan jerawat, terutama di kalangan remaja. Ini sama sekali tidak benar. Maklumat sekian lama jelas membuktikan bahawa coklat tidak menyebabkan jerawat. Sebaliknya, amalan pemakanan yang kurang baik, punca utama jerawat, tetapi kita lebih mudah menyalahkan coklat. Perubahan hormon ketika baligh, ditambah pengambilan makanan kurang zinc dan banyak iodin, punca utama. Jerawat biasanya tumbuh apabila seseorang mencapai usia remaja. Pertambahan hormon menyebabkan kelenjar mengeluarkan sebum, yang mengalir ke permukaan kulit secara semula jadi. Jika pengalirannya tersekat, sebum terkumpul lalu membentuk jerawat. Ensiklopedia Dermatologi menjelaskan dengan tepat bahawa pemakanan tiada kena-mengena dalam pengurusan jerawat. Jadi, remaja tidak perlu menahan diri daripada memakan coklat kegemaraan mereka.
Fakta 2: Coklat tidak menggemukkanIsu sebenarnya, apabila kita makan berlebihan.
Perangkaan terbaru dari seluruh dunia menunjukkan, bilangna orang gemuk kian ramai. Makan sederhana, termasuk coklat, diiringi senaman kardiovaskular, adalah rahsia mengekalkan berat nadan sihat. Yang penting, tahap kecergasan, bukan hanya kehilangan berat badan. Doktor dan pakar pemakanan, orang terbaik menasihat mengenai pengurusan berat badan. Bagaimanapun, petua termudah ialah makan secara sederhana. Sebenarnya, tiada sesuatu makanan tertentu yang boleh menggemukkan. Lazimnya, yang menentukan berat badan seseorang ialah jumalh dimakan. Sebagai peringatan, Persatuan Pemakanan Amerika menasihatkan:"…coklat boleh dimakan secara sederhana."
Fakta 3: Penghidap diabetes boleh makan coklat
Dalam tempoh 20 tahun lalu, pelbagai perubahan besar dalam nasihat pemakanan diberikan kepada penghidap diabetes. Persatuan Diabetes Britain, Persatuan Dietitik Amerika dan Persatuan Diabetes Malaysia kini mengakui bahawa pengambilan gula, atau makanan bergula, dalam jumalh terhad sebagai sebahagian diet tinggi serat dan rendah lemak, boleh diterima. Produk khusus untuk pesakit diabetes tidak menawarkan sebarang kelebihan kepada mereka dibandingkan dengan makanan biasa. Justeru, penghidap diabetes boleh menikmati coklat, tetapi secara sederhana, mengikut nasihat pakar pemakanan.
Fakta 4: Coklat tidak sebabkan karies gigi
Apabila anda mengalami sakit gigi yang teruk dan sedang menunggu berjumpa doktor gigi, coklat perkara terakhir bermain dalam fikiran. Namun jangan terburu-buru membuat kesimpulan, fikir dahulu faktanya. Kerosakan gigi disebabkan pelbagai faktor dan hakisan enamel pada gigi adalah proses dinamik. Asid yang terhasil daripada pecahan karbohidrat makanan di dalam mulut menyebabkan hakisan ini. Amalan menjaga kebersihan mulut dan pemflouridan air terbukti dapat mengurangkan karies di sesetengah negara, walaupun pengambilan gula tetap sama atau meningkat. Satu lagi berita baik, tanin pada koko mungkin membantu mencegah karies dengan mengurangkan pertumbuhan plak, manakala asid oksalik dalam coklat dikatakan dapat mengurangkan pengeluaran asid. Kini anda boleh terus makan coklat dan senyum tanpa segan silu. Tetapi jangan lupa berus gigi.
Fakta 5: Coklat tidak sebabkan sakit jantung
Dalam kes sakit jantung, coklat juga sering dipersalahkan. Punca utama peningkatan kes sakit jantung di Malaysia ialah gaya hidup kurang sihat dan kurang cergas. Merokok, kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang dan berlemak tepu adalah penyebab sebenarnya. Sebaliknya, coklat mengandungi antioksidan, dikenali sebagai fenol, yang mungkin mampu mengurangkan tahap kepadatan lipoprotein (kolesterol LDL). Hasil kajian terkini menunjukkan bahawa asid stearik pada mentega koko atau lemak dalam coklat tidak memberi kesan kepada kolesterol darah. Untuk menjaga kesihatan, kita patut mengamalkan pengambilan makanan mengandungi banyak serat dan karbohidrat kompleks, tetapi kurang lemak dan gula. Kita juga perlu sentiasa bersenam. Pengambilan sedikit coklat sebagai sebahagian diet seimbang tidak akan menimbulkan masalah kepada jantung.
Fakta 6: Coklat kuatkan tenaga batin?
Walaupun belum ada makanan terbukti dapat meningkatkan tenaga batin, coklat berupaya mencetuskan reaksi positif kepada tindakan kimia otak dan diketahui dapat memperbaiki mood seseorang. Aroma, rasa dan kelazatan coklat memberi nikmat sukar digambarkan. Nikmat dirasai apabila makan coklat disebabkan pengeluaran pelali semula jadi yang diketahui dapat mengurangkan kesakitan dan meningkatkan mood serta nikmat dirasai. Hakikatnya, jumlah pelali itu tidak mencukupi untuk menghasilkan kesan sedemikian. Sebaliknya besar kemungkinan gabungan rasa, kandungan khasiat dan ramuan psikoaktif coklat yang menjadi penyebab. Glenn Cardwell merumuskan: "Makan coklat antara nikmat sebenar kehidupan." Ini bermakna, coklat hadiah yang sempurna. Tidak dinafikan, kesihatan menjadi keutamaan hampir semua orang. Jika dimakan secara sederhana, walaupun setiap hari, coklat tidak memudaratkan. Jadi, janganlah bimbang hendak menikmati coklat, kerana ia antara anugerah kehidupan paling enak.